pengkaji memerhati dengan mengumpul serta menganalisis data untuk menilai sejauh
mana keberkesanan kad bergambar terhadap pencapaian peserta kajian.
METODOLOGI KAJIAN
Dalam melaksanakan penyelidikan tindakan ini, kaedah yang digunakan
adalah data kualitatif iaitu pemerhatian, temu bual, soal selidik, ujian diagnostik.
Semasa mengumpul data, catatan pemerhatian dibuat melalui nota lapangan
sepanjang sebelum penyelidikan tindakan. Catatan lapangan ini dibuat terhadap jenis
tingkah laku bukan lisan murid di dalam kelas sebelum penggunaan kad bergambar
digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Perbezaan sebelum dan selepas
dinyatakan melalui pemerhatian dan dicatat dalam bentuk jadual.
Borang soal selidik diedarkan sebelum pelaksanaan penyelidikan kajian.
Pengkaji telah mengira bilangan peserta yang memilih kriteria yang sama dalam
borang tersebut. Borang ini membolehkan pengkaji mengetahui minat, kefahaman dan
kesesuaian murid terhadap pembelajaran dan pengajaran topik simpulan bahasa.
Menurut Chuah Kim Hwa (2007), temu bual merupakan satu kaedah yang
membolehkan seseorang penyelidik mendapat maklumat kajian secara mendalam
kerana melibatkan hubungan bersua muka berlangsung (face-to-face) dengan peserta
kajian. Sebanyak 3 soalan diberikan sebelum menggunakan kad bergambar dan 4
soalan bagi menguji keberkesanan selepas menggunakan metod tersebut.
Teknik seterusnya ialah lembaran kerja murid dalam bentuk intervensi. Seperti
ujian pos dan ujian pra, tiga tahap ujian intervensi bagi setiap aktiviti berbeza akan
diberikan kepada murid selepas pembelajaran menggunakan kad bergambar.
Kekerapan murid membuat kesalahan untuk ketiga-tiga lembaran kerja akan
dibandingkan.
Akhir sekali, bagi meningkatkan kredibiliti kajian penyelidikan yang dibuat, ujian
pasca dan ujian pra dipraktikkan. Ujian pra diberi kepada murid selepas guru
menjalankan pengajaran dan pembelajaran tanpa menggunakan kad bergambar.
Ujian pasca pula diberikan selepas pengajaran dan pembelajaran simpulan bahasa
dijalankan dengan menggunakan kad bergambar. Markah yang diperoleh daripada
kedua-dua ujian akan dibandingkan.