FOKUS KAJIAN
Semasa menjalani praktikum, pengkaji mendapati bahawa masih terdapat murid tahun
5 yang tidak dapat menghasilkan ayat bahasa Melayu secara gramatis menggunakan
perkataan bahasa Melayu dengan tepat. Pengaruh bahasa pertuturan harian
menyebabkan murid tidak dapat membezakan perkataan bahasa Melayu yang betul.
Isu ini merupakan salah satu isu yang perlu dititikberatkan kerana melibatkan
kemahiran menulis. Kemahiran menulis merupakan salah satu kemahiran yang perlu
dikuasai oleh murid dari peringkat sekolah lagi. Hal ini kerana, kemahiran menulis
antara kemahiran yang terdapat dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
yang perlu dikuasai oleh murid. Sehubungan dengan itu, pengkaji telah membuat satu
keputusan untuk memilih isu ini sebagai isu kajian tindakan. Kegagalan murid untuk
menguasai kemahiran menulis akan menyebabkan murid tidak dapat menepati
piawaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Jika isu ini
dipandang remeh dan tidak berusaha untuk mencari cara untuk mengatasinya dengan
segera, sudah pasti akan mempengaruhi keputusan murid dalam penulisan dan
pencapaian keseluruhan. Oleh itu, pengkaji telah merancang satu intervensi bagi
membantu menyelesaikan permasalahan ini. Pengkaji telah menghasilkan satu bahan
yang diberi nama Munsyi Cilik untuk membantu murid meningkatkan penguasaan
kosa kata bahasa Melayu.
OBJEKTIF KAJIAN
Meningkatkan penguasaan kosa kata bahasa Melayu dalam kalangan murid Tahun 5
tanpa dipengaruhi oleh bahasa pertuturan harian.
SOALAN KAJIAN
Adakah penggunaan Munsyi Cilik dapat membantu murid Tahun 5 meningkatkan
penguasaan kosa kata bahasa Melayu tanpa dipengaruhi oleh bahasa pertuturan
harian
PESERTA KAJIAN
Fokus utama pengkaji ialah kepada murid-murid Tahun 5 yang mana merupakan kelas
yang diajar oleh pengkaji. Pengkaji telah menjalankan pemerhatian awal terhadap
murid Tahun 5 seramai 13 orang yang terdiri daripada 6 orang murid lelaki dan 7 orang
murid perempuan. Peserta kajian ini melibatkan 8 orang murid yang berbangsa Dusun
dan beragama Kristian. Manakala, yang selebihnya adalah terdiri daripada murid yang
beragama Islam dan berbangsa melayu.