tempoh pelaksanaan penyelidikan ini dapat dipanjangkan agar pengkaji dapat
menjalankan kajian tindakan dengan secukupnya tanpa terburu-buru. Malah, masa
yang mencukupi akan membantu pengkaji untuk memurnikan lagi bahan atau inovasi
yang akan digunakan sebagai proses intervensi yang akan dilaksanakan.
Dalam kajian yang dijalankan, pengkaji telah memilih origami KeKuNa
sebagai bahan yang akan membantu peserta kajian dalam menyelesaikan masalah
yang dihadapi murid. Origami KeKuNa dipilih kerana mempunyai kedekatan yang
sangat erat dengan fasa umur peserta kajian iaitu 10 tahun. Hal ini demikian kerana,
pengetahuan-pengetahuan terhadap origami ini sudah pun diperkenalkan oleh
murid-murid sejak di prasekolah lagi iaitu dalam membantu murid untuk melatih
menggunakan kemahiran motor halus mereka semasa umur kanak-kanak.
Impaknya, keempat-empat peserta kajian amat gembira dan kenal pada origami
KeKuNa semasa pengkaji memperkenalkannya kepada mereka. Peserta kajian
begitu bersemangat sehingga segala arahan yang disampaikan oleh pengkaji diikuti
dengan patuh. Bukan itu sahaja, dengan adanya penambahan elemen-elemen
seperti warna dan simbol yang menarik, telah membantu peserta kajian dalam
mengingati serta memahami konsep menggunakan huruf besar pada permulaan ayat
dan tanda noktah pada akhir ayat sehingga semua peserta kajian berjaya mencapai
markah pada tahap cemerlang semasa ujian pos dijalankan. Malah, selepas
intervensi dilaksanakan, peserta kajian dilihat lebih berkeyakinan dalam menulis ayat
tanpa melihat pada jawapan rakan-rakan yang lain serta tidak lagi menyoal pada
guru. Melalui penyelidikan tindakan ini, pengkaji juga banyak bertemu dan belajar
dengan rakan-rakan mahupun pensyarah yang lebih berpengalaman dan sentiasa
sedia dalam berkongsi ilmu serta tunjuk ajar kepada pengkaji agar dapat
melaksanakan kajian mengikut prosedur yang betul. Akhir sekali, pengkaji amat
bersyukur kepada Tuhan berserta dengan ahli keluarga, pensyarah, rakan-rakan,
pihak sekolah dan peserta kajian di atas keterlibatan dan sokongan yang diberikan
dalam menjayakan penyelidikan yang dilaksanakan. Dengan adanya sokongan dan
motivasi yang diberikan, pengkaji berasa lebih yakin dengan penyelidikan yang ingin
dilaksanakan bagi membantu murid meningkatkan penguasaan dalam penggunaan
huruf besar dan tanda noktah semasa aktiviti menulis.