Pengkaji menggunakan senarai semak untuk merekod dan mendokumentasikan
data dari proses pemerhatian.
DAPATAN DAN PERBINCANGAN
Dapatan Kajian Persoalan 1 & 2
Untuk menjawab kepada persoalan pertama dan kedua, perbezaan antara hasil data
dari ujian pra dengan ujian pasca telah dianalisis. Berikut merupakan jadual yang
menunjukkan perbezaan markah dan nilai min di antara kedua-dua ujian ini.
Jadual 3 : Analisis Dapatan Perbezaan Ujian Pra dan Ujian Pasca
Sampel Ujian Pra Ujian Pasca Perbezaan
S1 9/20 19/20 10
S2 11/20 19/20 8
S3 7/20 20/20 13
S4 1/20 20/20 19
S5 7/10 18/20 11
Min 7 19.2 12.2
Jawapan kepada persoalan ini dapat dilihat melalui jadual yang diberi.
Sebagai permulaan, ujian pra yang telah diedarkan dan dilaksanakan kepada
kumpulan murid membawa kepada hasil dapatan yang kurang memberangsangkan.
Hanya seorang sahaja yang berjaya mendapatkan markah lebih dari setengah
markah keseluruhan manakala murid-murid lain memperoleh markah rendah
daripada 10. Ke semua item yang disediakan kepada murid adalah merujuk kepada
kemahiran dalam mengesan kata nama khas pada ayat dan seterusnya menulis
semula ayat yang dinyatakan dengan betul iaitu kata nama khas perlu ditulis
menggunakan huruf besar pada pangkalnya.
Berdasarkan pada data yang diperoleh, pengkaji dapat membuat kesimpulan
bahawa dalam kumpulan murid ini hanya menyalin semula ayat tersebut tanpa
melakukan perubahan iaitu mengubah kata nama khas kepada penulisan yang
mengandungi penggunaan huruf besar pada pangkalnya. Perkara ini terjadi
disebabkan dua faktor iaitu pertama berkemungkinan murid terlalu mengikut arahan
yang diberikan tanpa berfikir terlebih dahulu dan kurangnya pengetahuan murid
dalam mengecam kata nama khas. Hal ini juga berkait rapat dengan kurangnya
kepekaan dalam penulisan Bahasa Melayu. Justeru itu, kumpulan murid ini menyalin
ke semua ayat dengan mengabaikan penggunaan huruf besar yang diperlukan.