TEKNIK PSP BAGI MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBINA AYAT
TUNGGAL DENGAN PELUASAN SUBJEK DAN PREDIKAT
QISTINA ATHIFFAH BINTI AHMAD SABRI
Jabatan Pengajian Melayu
Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Sabah
[email protected]
ABSTRAK
Kajian ini dilakukan bertujuan bagi menguji penggunaan inovasi PSP
(Peluasan Subjek dan Predikat) melalui kemahiran menulis yang telah
dibangunkan terhadap murid-murid tahun lima. Teknik PSP yang
menggunakan rumus SiKemBa dan SiBaK diketengahkan bagi membantu
murid mengatasi kelemahan dalam penghasilan ayat yang kurang gramatis.
Inovasi ini dibangunkan bagi membantu murid memperluaskan ayat
menggunakan kaedah dan teknik yang betul supaya mereka dapat memahami
konsep peluasan subjek dan predikat dengan tepat. Pengkaji memilih Model
Kemmis dan McTaggart (1988) sebagai model dalam melaksanakan kajian ini.
Peserta kajian seramai lima orang murid yang melibatkan tiga orang perempuan
dan dua orang lelaki. Kajian ini menggunakan kaedah pemerhatian berstruktur,
soal selidik dan ujian pra dan pos sebagai kaedah pengumpulan data. Reka
bentuk kajian yang digunakan dalam kajian ini bersifat kaedah gabungan
kuantitatif dan kualitatif yang menggunakan kaedah tringulasi. Hasil
pencapaian murid dalam dapatan kajian menunjukkan bahawa kesemua
mereka mengalami peningkatan yang memuaskan berbanding pencapaian
sebelumnya selepas mengaplikasikan teknik PSP dengan rumus SiKemBa dan
SiBaK. Hasil kajian menunjukkan respon yang positif dan perlu ditambahbaik
pada masa akan datang. Hasil inovasi serta persepsi maklum balas ini boleh
diguna pakai oleh penyelidik dan diharap dapat dikongsi bersama untuk
menghasilkan murid yang berkualiti.
Kata Kunci : Kemahiran menulis, Tahun 5, Teknik PSP, rumus SiKemBa dan SiBaK