PENGENALAN
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) telah dijadikan sebagai garis panduan dan
rujukan perdana para pendidik semasa melaksanakan tugas-tugas pendidikan. Para
guru perlu menyedari hakikat bahawasanya tugas dan tanggungjawab mereka
tertumpu kepada penyampaian ilmu pengetahuan dan pembentukan modal insan
yang perlu diberikan perhatian yang serius. Dalam pendidikan negara, kurikulum
Bahasa Melayu menyediakan murid untuk menguasai kecekapan berbahasa dan
komunikasi dengan menggunakan tatabahasa secara betul dan tepat (Bahagian
Perkembangan Kurikulum, 2013).
Seiring dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025
(PPPM) yang komited ingin meningkatkan pencapaian setiap murid dan kualiti
pendidikan, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) distrukturkan kepada
pendekatan modular. Unit-unit kecil yang terkandung dalam KSSR terdiri daripada
beberapa modul termasuklah Modul Tatabahasa (Zaini, 2013).
Standard Kandungan Aspek Tatabahasa digubal bertujuan untuk
menentukan keupayaan murid menguasai asas kemahiran berbahasa dengan
penggunaan nahu yang betul dan tepat. Dalam hal ini, guru dilihat berperanan
penting untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran aspek tatabahasa ini
secara penggabungjalinan dengan kemahiran yang lain seperti kemahiran lisan,
membaca atau menulis. Oleh hal yang demikian, pengajaran dan pembelajaran
tatabahasa wajar diajarkan dengan berfokus dan terancang. Kemahiran menulis
adalah salah satu kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh murid. Terdapat
sebilangan murid sekolah rendah yang masih lemah dalam menguasai kemahiran
berbahasa, terutamanya kemahiran menulis (Kamarudin Husin dan Siti Hajar, 1997).
Penguasaan kemahiran menulis amat penting dan perlu diberikan penekanan sama
ada melalui perancangan pengajaran sistematik (Yahya Othman, 2005).
Sehubungan dengan itu, kemahiran menulis amat penting dan perlu dikuasai
oleh murid. Penguasaan yang baik dalam kemahiran menulis ini membolehkan murid
melahirkan idea dan pendapat serta pandangan mereka melalui penulisan (Farhan,
2013). Kemahiran menulis yang baik juga dipengaruhi oleh penguasaan aspek
tatabahasa yang baik oleh seseorang murid. Aspek tatabahasa yang terangkum
dalam bidang morfologi ini mempunyai cakupan ilmu yang luas dan salah satu
daripadanya ialah aspek pengimbuhan kata. Oleh hal yang demikian, pengkaji akan
menjalankan satu penyelidikan tindakan untuk meningkatkan penguasaan menulis
kata nama yang menerima imbuhan peN- dalam kalangan murid.