KOLEKSI ARTIKEL PENYELIDIKAN BM 2022

(faizkhaldun) #1
PENGENALAN

Kamus Dewan (2010), tatabahasa dalam bahasa Melayu ditakrifkan sebagai
satu pengetahuan atau pelajaran tentang pembentukan perkataan dan proses
pembinaan ayat (penyusunan kata dalam ayat). Menurut Nik Safiah Karim,
Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa, & Abdul Hamid Mahmood (2014) dalam
Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga mentakrifkan pembentukan ayat yang tidak
terbilang jumlahnya merupakan asal pembentukan sesuatu bahasa, manakala
ayat pula terhasil daripada pelbagai golongan perkataan yang membawa makna
tersendiri. Perkataan yang digunakan dalam pembinaan ayat ini terhasil
melalui penyatuan bunyi-bunyi dalam sesuatu bahasa yang mempunyai makna,
digabungkan menjadi suku kata dan perkataan.


Dalam pengajaran bahasa Melayu, setiap guru atau bakal guru perlu memikirkan
cara dan kaedah yang lebih menarik agar murid-murid mudah memahami serta
berminat untuk mempelajari tatabahasa tanpa sebarang tekanan. Menurut Zamri
Mahamod (2010), seringkali terdapat kegagalan guru untuk menerapkan
pelbagai kemahiran yang diajar, terutamanya kemahiran abad ke-21. Bagi
pembelajaran bahasa Melayu, aspek tatabahasa harus dikuasai penggunaannya
tanpa kesilapan dan kesalahan yang boleh mengubah maksud sesuatu
perkataan atau frasa. Oleh hal yang demikian, Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR) terkini mengutamakan aspek tatabahasa agar diajar sekali
seminggu iaitu setiap hari Jumaat mengikut sukatan dalam Rancangan
PengajaranTahunan (RPT) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) terutamanya bagi murid-murid sekolah rendah.
Pengetahuan yang lebih meluas dalam bidang tatabahasa bahasa Melayu,
penting dalam sistem pendidikan Malaysia bermula dari sekolah rendah,
menengah dan seterusnya di peringkat institut dan universiti.

Free download pdf