56
dalam bentuk digital. Ciri-ciri penampilan model pula bergantung kepada tujuan model itu dibuat.
Contohnya, jika tujuannya untuk memaparkan rupa dan bentuk sesuatu objek maka model akan
bersifat visual. Jika tujuan model adalah untuk menunjukkan bagaimana sesuatu objek berfungsi
maka, model akan bersifat dinamik dan interaktif.
Dalam penggunaan model, terdapat kecenderungan yang terlalu menekankan penerokaan melalui
eksperimen tetapi mengabaikan kepentingan amalan utama lain seperti mengemukakan soalan,
membangunkan dan mengguna model, membangunkan penjelasan (constructing explanation),
Penghujahan (argumentation) serta melibatkan diri dalam memberi kritikan dan penilaian hujahan.
Dengan ini, pemodelan dapat membantu pelajar mengutarakan kepentingan-kepentingan itu di
samping mengembangkan kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran sistem (systems thinking),
perkongsian dan menilai idea, mengutamakan evidens serta mengukuhkan amalan sains dan
kejuruteraan lain. Di peringkat Tahap 1 sekolah rendah, pemodelan dapat diperkenalkan dengan
menggunakan gambar, gambar rajah, lakaran dan model fizikal seperti kapal terbang atau kereta.
Di peringkat sekolah menengah pula, simulasi dan model konseptual, matematik dan
komputasional yang lebih canggih dapat digunakan untuk menjalankan penyiasatan, meneroka
perubahan dalam komponen sistem, serta menghasilkan data yang dapat digunakan dalam
membangunkan penjelasan saintifik atau dalam mencadangkan penyelesaian teknologi bagi
sesuatu permasalahan.
Amalan sains
Membangunkan dan mengguna model: Dalam konteks amalan sains dan juga kejuteraan, salah
satu amalan yang perlu diberi keutamaan adalah membangunkan dan menggunakan model. Tetapi
apakah yang dimaksudkan dengan model saintifik? Gilbert (2004) mendefinisikan model saintifik
sebagai gambaran ringkas suatu realiti yang dihasilkan dari pemerhatian yang mendalam, dibina
untuk tujuan tertentu di mana fenomena abstrak divisualkan, samada sesuatu itu terlalu kecil atau
terlalu besar, sesuatu perkara kompleks yang cuba dipermudahkan. Ia mesti mempunyai kedua-
dua sifat sebagai penerangan secara saintifik dan juga membuat ramalan tentang sesuatu fenomena.
Model-model digunakan untuk menjelaskan banyak fenomena termasuk perihal objek-objek,
perkara-perkara abstrak, sistem atau sebahagian dari sistem, sesuatu entiti atau hubungan antara
entiti, sesuatu peristiwa dan juga sesuatu proses yang berlaku.
Sainstis dan jurutera menggunakan dan membangunkan pelbagai model sebagai alat bantu untuk
mewakili idea dan penjelasan mengenai fenomena alam semulajadi. Alat-alat ini merangkumi
gambar rajah, lakaran, replika fizikal, perwakilan matematik, analogi, dan simulasi komputer.
Model yang dibina mestilah berdasarkan bukti, dan adalah sesuatu yang lumrah dalam sains,
apabila bukti baharu ditemui dan model sedia ada tidak dapat menjelaskannya, maka model yang
sedia ada akan diubah suai. Dalam bidang kejuruteraan, contoh penggunaan adalah seperti simulasi
untuk menganalisis sistem sedia ada supaya dapat megenalpasti kelemahan yang ada dalam sistem
atau untuk menguji kemungkinan penyelesaian terhadap masalah baharu. Jurutera-jurutera turut
mencipta model-model untuk menguji sistem yang dicadangkan dan mengenal pasti kekuatan dan
kelemahan serta batasan-batasan reka bentuk mereka (National Research Council, 2012).