135
Jadual 1: Ringkasan tahap-tahap inkuiri dan maklumat yang dibekalkan kepada murid (Banchi & Bell, 2008)
Aras Inkuiri Soalan Prosedur Penyelesaian
1 Inkuiri pengesahan – Murid
mengesahkan sesuatu pengetahuan sains
yang mana keputusannya sudah
diketahui.
2 Inkuiri berstruktur – Murid menyiasat
soalan yang telah dikemukakan oleh
guru berdasarkan prosedur yang
diberikan.
3 Inkuiri terbimbing – Murid menjalankan
penyiasatan berdasarkan soalan yang
diberi oleh guru tetapi perancangan dan
prosedur ditentukan oleh murid.
4 Inkuiri terbuka – Murid mengemukakan
soalan dan merancang prosedur
penyiasatan.
Pada aras inkuiri pengesahan, soalan, prosedur dan keputusan yang diharapkan diberi kepada
murid. Dalam aras inkuiri berstruktur, keputusan tidak diberi. Bagi aras inkuiri terbimbing pula
kedua-dua prosedur dan keputusan tidak diberi. Pada aras inkuiri terbuka, iaitu aras yang paling
tinggi, ketiga-tiga soalan, prosedur dan keputusan dibina oleh murid sendiri. Dengan itu, pada
aras inkuiri pertama iaitu, inkuiri pengesahan, murid mengesahkan sesuatu pengetahuan sains
melalui aktiviti yang mana keputusannya sudah diketahui. Dalam inkuiri aras kedua, iaitu inkuiri
berstruktur, murid menyiasat persoalan yang dikemukakan oleh guru dengan prosedur yang
diberi. Kedua-dua aras inkuiri ini merupakan aktiviti yang berasaskan ‘buku resipi’ sebab
langkah-langkah dalam prosedur telah disediakan. Perbezaannya cuma pada inkuiri berstruktur,
murid perlu mencari jawapan kepada soalan iaitu keputusan penyiasatan.
Inkuiri terbimbing merupakan inkuiri aras ketiga. Dalam inkuiri ini, murid membuat penyiasatan
berdasarkan soalan yang dikemukakan oleh guru tetapi menggunakan prosedur yang dirancang
oleh murid sendiri. Peralihan dari aras inkuiri kedua ke aras ketiga nampaknya lebih mencabar.
Namun, ia mungkin menjadikan pembelajaran sains lebih bermakna dengan penglibatan murid
yang lebih mendalam yang dapat membawa kepada kepuasan ‘ownership’. Namun, seperkara
yang harus diingatkan ialah dari aspek keselamatan. Guru perlu meneliti prosedur yang
dicadangkan oleh murid dan memberi kelulusan sebelum penyiasatan dilakukan (Bell, Smetana
& Binns, 2005)
Pada aras yang paling tinggi, iaitu aras keempat ialah inkuiri terbuka. Dalam inkuiri ini, murid
menyiasat soalan yang dikemukakan oleh mereka sendiri dengan menggunakan prosedur yang
juga dirancang oleh mereka sendiri. Pencapaian ke aras inkuiri ketiga dan keempat jelas
menunjukkan murid menguasai kemahiran pemikiran kritis, satu komponen kemahiran berfikir
aras tinggi yang juga satu kemahiran abad ke-21.