5
Memberi Maklum Balas kepada Pelajar
Memberi maklum balas kepada pelajar mengenai penilaian guru adalah perkara penting yang perlu
dipertimbangkan, kerana ia boleh mendatangkan kesan positif atau kesan negatif terhadap
pembelajaran. Maklum balas yang memberi kesan positif ialah maklum balas yang tidak
mempunyai unsur perbandingan sesama pelajar. Setiap pelajar harus diberi maklum balas
berkaitan dengan kemajuannya secara individu. Komen harus berkaitan dengan hasil tugasannya
dan bagaimana ia dapat diperbaiki. Ini adalah lebih membantu daripada sekadar memberi komen
bahawa hasilnya salah, atau dengan hanya mengatakan "baik" (Harlen, 2013).
Kesan negatif akan berlaku apabila terlalu mementingkan ganjaran dan persaingan di kalangan
pelajar. Penyelidikan menunjukkan bahawa ini menyebabkan pelajar hanya memberi tumpuan
kepada tugasan yang diberi ganjaran (Black & William, 1998).
Bagaimanakah memberi maklum balas kepada pelajar terhadap hasil pentaksiran?
Penyelidikan Black et al. (2003) dalam penilaian formatif menunjukkan bahawa:
pelajar jarang membaca komen guru, pelajar lebih suka membandingkan markah dengan
rakan sebaya sebagai reaksi pertama mereka apabila hasil tugasan dikembalikan
guru jarang memberi pelajar masa di kelas untuk murid membaca komen yang diberikan,
dan hanya sebahagian kecil daripada pelajar akan membaca komen guru selepas sekolah.
guru memberi komen yang ringkas dan / atau tidak spesifik
pelajar tidak mengambil perhatian atau tidak bertindak mengikut komen guru
pelajar minta guru supaya tidak menggunakan pen merah semasa menyemak
pelajar minta guru tulis komen yang jelas dan mudah difahami
Bagaimanakah guru memberi maklum balas/ komen yang baik terhadap hasil kerja pelajar?
Komen dari guru yang bermakna ialah komen yang:
berfokus kepada tugasan, bukan individu,
mendorong pelajar untuk berfikir tentang hasil kerja mereka dan bukan semata-mata memuji,
menunjukkan apa yang perlu dilakukan seterusnya dan memberi idea tentang cara
melakukannya.
Maklum balas yang dapat membantu pembelajaran pelajar:
berbentuk komen tanpa markah atau gred
komen mengenai hasil kerja pelajar harus mengenal pasti apa yang telah dilakukan dengan
baik, apa yang boleh diperbaiki dan bagaimana mencapai kemajuan
komen harus membantu pelajar menyedari apa yang telah mereka pelajari
guru harus memastikan bahawa pelajar memahami komen mereka
masa harus dirancang untuk pelajar membaca komen guru dan memberi respons kepada
komen