MEMOIR GURU PRAKTIKUM TERKINI WITH E-ISBN (1)

(IPGKP kentFIP3vJ) #1

Pada minggu ke-8, saya berpeluang untuk menghadiri kelas sesi petang di Sekolah Kebangsaan St
John (M) Tuaran bagi membantu pihak sekolah menangani masalah kekurangan guru. Beberapa
guru di sekolah ini sedang bercuti bersalin, manakala sebahagian yang lain telah berpindah ke
sekolah yang baharu, menyebabkan kekosongan dalam penjadualan pengajaran sesi petang. Sebagai
seorang guru praktikum, pengalaman ini sangat berharga kerana ia memberikan gambaran yang lebih
jelas tentang realiti tugas seorang guru.


Dalam menjalankan tugas ini, saya dibantu oleh Cikgu Loisah selaku Penolong Kanan Petang,
yang menentukan kelas yang perlu saya ganti dan subjek yang perlu diajar. Sepanjang berada di sesi
petang, saya sempat mengajar beberapa subjek termasuk Bahasa Melayu, Pendidikan Moral, dan
Bahasa Kadazandusun. Waktu pengajaran sesi petang bermula dari jam 12:30 tengahari hingga 5:20
petang. Pengalaman ini sememangnya berbeza dengan pengajaran tahap 2 di sesi pagi, dan saya telah
memperoleh banyak pengalaman yang sangat berharga daripada tugasan ini.


Pada hari pertama mengajar di sesi petang, saya dapat merasakan suasana kelas yang berbeza
daripada apa yang biasa saya hadapi di kelas tahap 2 pada waktu pagi. Murid-murid di sesi petang ini
kebanyakannya terdiri daripada murid tahap 1, dan saya perlu menyesuaikan cara penyampaian dan
pendekatan pengajaran agar lebih menarik minat mereka. Subjek yang saya ajar seperti Bahasa
Melayu, Pendidikan Moral, dan Bahasa Kadazandusun memerlukan saya untuk menjadi lebih kreatif
dalam pengajaran, agar murid-murid dapat memahami isi kandungan dengan lebih mudah.


Antara cabaran yang sering saya hadapi adalah murid-murid yang mudah hilang fokus dan
sering kali keluar dari kelas tanpa izin. Ini merupakan sesuatu yang baharu bagi saya, kerana murid
tahap 2 di sesi pagi biasanya lebih berdikari dan mampu mengawal tingkah laku dengan lebih baik.
Namun, untuk murid-murid di tahap ini, saya perlu lebih tegas tetapi pada masa yang sama
memahami keadaan mereka yang masih memerlukan perhatian dan bimbingan secara lebih dekat.
Selain itu, setiap hari pasti ada murid yang akan duduk di bilik guru kerana mengadu sakit. Saya
menyedari bahawa kehadiran mereka di bilik guru bukan hanya kerana mereka tidak sihat tetapi juga
mungkin kerana mereka merasa tidak selesa atau kurang tumpuan dalam kelas. Pengalaman ini
memberikan saya kesedaran tentang pentingnya kesabaran dan sifat empati dalam menangani murid-
murid pada tahap umur yang lebih muda.


Jurnal Minggu 8
MENGHADIRI KELAS SESI PETANG BAGI MENGATASI ISU
KEKURANGAN GURU SESI PETANG

Gerald Aldokent^20
Silvester
Free download pdf