“Belum tidur lagi, Dayang?” Setia menyapa lembut. Jarang-jarang benar
Setia mahu bercakap dengannya. Merdunya suara suamiku. Tapi... Dayang
terus menarik selimut dengan kasar lalu memalingkan tubuhnya. Dia terus
memejamkan mata lalu tertidur. Setia tidak berani mendekati Dayang. Seperti
biasa dia merebahkan tubuhnya di atas tikar mengkuang di atas lantai lalu
tertidur.
Dayang terjaga bila hujan turun sangat lebat. Dia terduduk. Dalam remang
cahaya lampu pelita, dia melihat Setia tidur dengan nyenyak di atas lantai.
Lega hatinya. Ada juga peneman aku di bilik ini. Hujan semakin lebat. Bagai
hendak terbang atap rumah dipukul angin. Dayang benar-benar takut.
Perlahan-lahan dia turun ke lantai lalu memeluk Setia dari belakang. Hujan
semakin lebat. Semakin erat pelukannya pada suaminya itu.
AWAL pagi Dayang sudah sibuk di dapur. Dia mahu menghidangkan ambuyat
yang paling sedap untuk suami dan keluarganya. Hari itu perasaanya terasa
amat tenang dan lapang. Dia membakar ikan lumahan dan ikan masin.
Sambal belacan daun bawang ditumbuk. Dia memasak sayur bening terung,
anak jagung, pucuk kacang dan bayam. Setelah siap semua lauk-pauk, dia
mula membuat ambuyat.
Dia turun ke bangsal. “Bapa... Setia... marilah makan. Aku sudah sediakan
ambuyat...”
Setia dan Haji Rafi berpandangan. Kemudian, ketiga-tiganya berbalas
pandangan. Tanpa bunyi, Setia mengekori saja langkah bapa mertuanya naik
ke dapur. Sedikit pun Setia tidak menegur sapa isterinya yang sudah
berlembut hati dengannya. Setia memang begitu.
Walaupun Setia tidak pernah mahu bercakap-cakap dengannya, Dayang
mula merasa kebahagiaan dalam perkahwinannya. Setia makan dengan
berselera apa saja yang dimasaknya. Setia membiarkan Dayang memeluknya
setiap malam. Setia tidak pernah marah, walau tidak pernah senyum. Hanya
suara petikan gambus dan lagu-lagu Setia saja memujuk hati Dayang saban
malam. Luluh dan roboh hati Dayang mendengar alunan suara dan petikan
gambus suaminya...
DAYANG menangis semahu-mahunya. Sudah dua hari Setia lari! Dayang
memeluk suaminya itu erat-erat setiap malam, dia takut Setia
meninggalkannya, tapi Setia tetap lari! Berlinangan air