PENGENALAN
Menulis merupakan satu kemahiran yang membolehkan seseorang individu meluahkan atau
mengeluarkan idea, perasaan dan pengalaman melalui tulisan. Dalam konsep, pengajaran
dan pembelajaran bahasa Melayu, kemahiran menulis merujuk kepada keupayaan murid
menulis perkataan dan ayat serta mengeluarkan idea melalui pelbagai penulisan kreatif
yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi dengan menggunakan
ayat yang gramatis, tanda bacaan dan ejaan yang betul. Hal ini bermakna, kemahiran
menulis merupakan salah satu aspek yang penting dalam bahasa Melayu.
Sungguhpun begitu, terdapat segelintir murid yang masih mengalami masalah untuk
menulis idea yang difikirkan (Sam Mukhtar Chaniago et al., 2011). Hal ini telah menjadikan
mereka kurang berminat untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran dan akhirnya
hilang tumpuan semasa guru mengajar (Abdul Rashid Jamain, 2011) hanya disebabkan
berasa bosan di dalam kelas.
Isu ini diketengahkan kerana berdasarkan tinjauan yang telah dilakukan, pengkaji
mendapati bahawa terdapat murid yang tidak boleh menulis ayat dengan baik sedangkan
bacaan dari segi lisan yang telah dijalankan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran
(PdP) kurang mempunyai kesalahan. Oleh itu, satu kaedah telah digunakan iaitu kaedah
Burger Ayat PDOT. Pelaksanaan kajian ini secara tidak langsung memperbaiki amalan
pengkaji dalam pengajaran kemahiran menulis ayat bahasa Melayu.
FOKUS KAJIAN
Fokus utama dalam kajian ini ialah berkaitan dengan aspek membina ayat. Sekiranya
perkara ini tidak diatasi dari awal, tidak mustahil akan memberikan impak yang besar
terhadap anak didik di negara kita. Justeru, kemahiran membina ayat ini juga sangat penting
kerana menjadi asas kepada kemahiran menulis dalam bidang kebahasaan. Tambahan
pula, kemahiran menulis ini merupakan salah satu aspek yang akan diuji dalam peperiksaan
yang sememangnya menjadi kayu ukur tahap kemahiran murid-murid. Oleh hal demikian,
kajian ini memberi fokus kepada penguasaan pembinaan ayat tunggal berpandukan teknik
yang dihasilkan oleh pengkaji dalam kalangan murid Tahun Empat melalui teknik Burger
Ayat PDOT.
OBJEKTIF DAN SOALAN KAJIAN
Secara umumnya, penyelidikan ini dilakukan bertujuan bagi meningkatkan
kemahiran membina ayat gramatis dalam kalangan murid tahun empat yang mempunyai
masalah dalam membina ayat menggunakan konsep Burger Ayat PDOT. Selepas kajian ini
dijalankan, diharapkan agar murid dapat mencapai objektif tersebut.