KOLEKSI ARTIKEL PENYELIDIKAN BM 2022

(faizkhaldun) #1
KESIMPULAN, CADANGAN DAN IMPLIKASI

Kesimpulannya, hasil kajian ini membuktikan bahawa peserta kajian yang tidak
berjaya mencapai markah yang minimum dalam kemahiran membina ayat tidak
semestinya akan kekal berada pada tahap pencapaian yang sedemikian. Jika diasah
dengan teknik yang bersesuaian dan mudah difahami oleh mereka, maka secara
tidak langsung peningkatan juga dapat dilihat melalui perkembangan pembelajaran
mereka. Perkara ini jelas dibuktikan misalnya melalui teknik SiBAD-SKUAD yang
telah membantu peserta kajian dalam meningkatkan penguasaan kemahiran
membina ayat majmuk mudah berdasarkan bahan rangsangan.


Sepanjang proses pelaksanaan kajian ini, pengkaji turut memperoleh
pelbagai ilmu pengetahuan dan pengalaman berharga tamsilnya amalan pengajaran
dan pembelajaran serta pelbagai teknik pembelajaran yang bersesuaian dengan
tahap kognitif murid. Pengkaji juga telah membuat refleksi dan penilaian diri terhadap
pelaksanaan kajian ini berdasarkan amalan pedagogi yang betul sekaligus berusaha
untuk meningkatkan kualiti PdPc dalam bilik darjah. Bukan itu sahaja, pengkaji juga
dapat meningkatkan pengalaman daripada aspek mengajar kelak pada masa
hadapan apabila berada dalam situasi sebenar sebagai seorang warga pendidik.
Dengan pelaksanaan kajian ini, pengkaji mendapati bahawa teknik SiBAD-SKUAD
mengandungi kekuatan dan kelemahan terhadap peserta kajian.


Seterusnya, pengkaji bercadang untuk menambahbaik teknik yang telah
dihasilkan dengan menghasilkan kit sebagai bahan konkrit berbentuk kad. Hal ini
secara tidak langsung membolehkan murid dapat mengaplikasikan teknik SiBAD-
SKUAD dengan kukuh kerana adanya bahan berbentuk kit berbanding jadual yang
diberikan dalam bentuk lembaran kerja. Malahan, pengkaji ingin memasukkan unsur
grafik dan jadual berwarna agar dapat menarik perhatian murid lebih lagi untuk
mengetahui cara mengaplikasikannya. Selain itu, pengkaji juga mencadangkan
teknik SiBAD-SKUAD yang telah diubahsuai ini dilaksanakan terhadap peserta yang
berlainan umur bagi kajian yang akan datang misalnya murid yang berada pada
Tahap Satu iaitu murid Tahun 3. Hal ini kerana kemahiran membina ayat penting
dikuasai oleh murid dengan sepenuhnya sejak Tahap Satu supaya dapat
memudahkan mereka untuk belajar menghasilkan karangan ketika berada pada
Tahap Dua. Secara tidak langsung, kegagalan menguasai kemahiran membina ayat
yang gramatis dan tepat pada peringkat awal akan mengakibatkan mereka lebih
sukar dalam membetulkan penggunaan ayat yang dihasilkan dalam penulisan masa
kelak.

Free download pdf