PENGENALAN
Pendidikan abad ke-21 menuntut guru untuk sentiasa berkompetensi tinggi dan
profesional dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah
melaksanakan transformasi dalam sistem pendidikan negara bagi mendokong hasrat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin mencapai pendidikan yang bersifat
holistik dengan memperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada
tahun 2011. Menurut KPM (2014), KSSR merupakan suatu usaha untuk menyusun
semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan
dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, kompetensi dan penerapan nilai-nilai sejagat
yang relevan untuk memenuhi keperluan semasa menghadapi cabaran abad-21.
Oleh itu, KPM menyatakan KSSR disokong dengan semakan dan penambaikan
penggubalan Dokumen Standard Kokurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dalam
bentuk pernyataan standard. Pernyataan standard ini merupakan pernyataan yang
merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang mesti dipelajari dan dikuasai
oleh murid di sekolah rendah (KPM, 2014).
Namun begitu, apabila negara dilanda wabak pandemik COVID-19 bermula
tahun 2019, sektor pendidikan negara terganggu dari aspek keselarasan
pelaksanaan pengajaran. Menurut Mahathir Yahaya, Wardatul Hayat Adnan (2021),
virus COVID-19 yang membawa kepada pandemik bukan sahaja memberi kesan
terhadap sektor pekerjaan dan ekonomi, malahan sektor pendidikan. Rentetan
daripada penutupan sekolah akibat pandemik telah menyebabkan murid ketinggalan
dalam beberapa kemahiran asas bahasa dalam bahasa Melayu. Antaranya adalah
murid didapati lemah dalam menguasai kemahiran asas menulis perenggan dalam
karangan secara mekanis. Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi mengesan apakah
masalah menulis perenggan secara mekanis bagi murid tahun 2 dan fokus terhadap
meningkatkan penguasaan kemahiran menulis perenggan secara mekanis.
Tegasnya, kajian ini dilaksanakan untuk membantu murid menulis perenggan secara
mekanis dengan betul menggunakan Bahan Bantu Mengajar (BBM) Bingkai Magnet
(BiNet).