Jadual dan graf di atas menunjukkan data-data hasil daripada soal selidik
yang dijalankan sebelum dan selepas proses intervensi dengan teknik menggunakan
origami KeKuNa dilaksanakan. Berdasarkan rajah 5.4, peningkatan sebanyak 50%
iaitu daripada 50% hingga 100% telah berjaya dicapai oleh peserta kajian dalam item
1, item 2, item 4 dan item 5. Selepas proses intervensi dilaksanakan, peserta kajian
telah menunjukkan minat dalam subjek Bahasa Melayu dan kemahiran menulis serta
dapat mencapai penguasaan yang cemerlang dalam penggunaan huruf besar pada
permulaan ayat dan tanda noktah pada akhir ayat selepas diperkenalkan dengan
teknik menggunakan origami KeKuNa.
Manakala, peningkatan tertinggi yang telah dicapai oleh peserta kajian adalah
sebanyak 75% iaitu perubahan daripada 25% hingga 100% pada item ketiga iaitu
peserta kajian dapat membezakan huruf besar (A-Z) dan huruf kecil (a-z) yang
terdapat dalam Bahasa Melayu. Perkara ini amat penting dalam membantu peserta
kajian untuk menguasai penggunaan huruf besar pada permulaan ayat dengan huruf
besar yang betul.
Berdasarkan analisis item-item di atas, pengkaji dapat menyimpulkan bahawa
teknik menggunakan origami KeKuNa sememangnya dapat meningkatkan
penguasaan penggunaan huruf besar dan tanda noktah dalam kemahiran menulis
murid. Hal ini demikian kerana, warna-warna, bentuk dan beberapa simbol yang ada
pada origami KeKuNa telah memudahkan murid untuk mengingati sesuatu maklumat
sekaligus meningkatkan motivasi murid untuk mengikuti sesi pembelajaran dengan
adanya penglibatan murid secara penuh dalam menggunakan origami KeKuNa.
Justeru, analisis keseluruhan data melalui soal selidik ini dapat menjawab persoalan
kajian pertama dan kedua dalam kajian ini.