Semasa ujian pos dilakukan, mereka berasa seronok kerana dapat menulis
dengan lebih cepat. Walhal sebelum ini, mereka agak lambat untuk mencari isi
penting bagi tajuk karangan. Pada awalnya, murid kurang mengerti pembahagian
teknik. Namun setelah membuat isi yang pertama, mereka mula memahami apa
yang perlu dilakukan. Jikalau sebelum ini mereka menoleh kiri dan kanan bagi
mencari jawapan rakan, tetapi kali ini mereka dengan penuh keyakinan dan khusyuk
menulis jawapan tanpa ragu-ragu. Bukan itu sahaja, malahan mereka turut
bertanding siapa yang paling cepat menyiapkan karangan.
Pengkaji berasa gembira kerana setelah sebulan menghasilkan kajian ini,
murid dapat memperkembangkan ayat dalam karangan dengan baik. Ayat karangan
yang sebelum ini kurang daripada 50 patah perkataan menjadi lebih panjang
sehingga hampir 100 patah perkataan dan pembinaan ayat juga gramatis. Walaupun
ayat tersebut tidak sehebat ayat murid yang cemerlang, peningkatan yang
ditunjukkan pada penulisan memberi suatu impak yang baik kepada pengkaji. Masih
ada yang tidak dapat memperluaskan kosa kata
Penulisan kajian tindakan ini memberi satu peluang kepada pengkaji untuk
memajukan diri dalam bidang pendidikan terutama menyelesaikan permasalahan
yang timbul dalam Bahasa Melayu. Amalan penyelidikan ini dapat meningkatkan
profesionalisme seorang pendidik dalam menyelesaikan konflik dala pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah.
CADANGAN TINDAKAN SUSULAN
Kajian yang dijalankan ini adalah berbentuk kuantitatif bagi mengenalpasti
punca murid tahun 4 tidak dapat menguasai kemahiran penulisan karangan. Kajian
ini hendaklah diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan pengajaran
dan pembelajaran. Tindakan susulan yang akan dilakukan adalah memperkenalkan
teknik PWIHHCO dengan lebih meluas di sekolah. Pengkaji merasakan teknik ini
mudah untuk dilaksanakan oleh guru serta tidak memerlukan kos perbelanjaan yang
banyak.
Seterusnya, pengkaji juga akan melaksanakan penambahbaikan bagi
menyesuaikan dengan pembelajaran murid. Seiring dengan perubahan
pembelajaran semasa, guru perlu menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam
menyediakan alat bantu mengajar. Lanjutan itu, jumlah kajian perlu lebih banyak dan
menggunakan pelbagai kognitif yang berbeza untuk mendapatkan dapatan lebih
menyeluruh. Dengan ramainya peserta kajian, ia akan mengukuhkan lagi kesahan
keberkesanan teknik yang diperkenalkan.