PENGENALAN
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah diperkenalkan sejak 2011
dengan memberikan fokus baharu pada hasil pembelajaran yang perlu dikuasai oleh
murid. Bahasa Melayu merupakan salah satu mata pelajaran teras yang terkandung
dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Mata pelajaran ini terbahagi
kepada empat kemahiran bahasa iaitu kemahiran mendengar dan bertutur,
kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kemahiran menulis merupakan salah
satu elemen yang sukar dikuasai oleh murid kerana kemahiran menulis melibatkan
aspek kognitif iaitu kemampuan berfikir untuk menjanakan idea dan
menterjemahkannya menjadi tulisan (Abdul Rashid, Shamsudin, Azhar dan Juanes
2016, Nik Safiah 2004). Menurut Che Zanariah dan Fadzilah (2011), murid mestilah
mempunyai penulisan yang menarik, di samping aspek bahasa yang digunakan
adalah betul.
Pendidikan rasmi memerlukan aktiviti menulis untuk menyampaikan idea,
maklumat serta perasaan. Oleh itu, kemahiran menulis merupakan satu kemahiran
yang wajib dikuasai oleh semua lapisan pelajar. Baik murid-murid sekolah rendah
mahupun pelajar-pelajar di Institut Pendidikan Tinggi (IPT) harus menguasai
kemahiran ini. Menurut Withrow (1987), dipetik daripada Abdul Jalil Othman (2005),
menyatakan bahawa setiap pelajar wajib disedarkan bahawa kemahiran menulis
adalah kemahiran tertinggi yang perlu dicapai dalam pembelajaran bahasa. Walau
bagaimanapun, terdapat isu dalam kemahiran menulis iaitu penguasaan kemahiran
menulis karangan dalam kalangan murid. Isu ini bukan sahaja dialami oleh murid-
murid di peringkat sekolah rendah malah pelajar di sekolah menengah juga
mengalami masalah ini. Sehubungan itu, kemahiran menulis diberi penekanan dalam
sukatan pelajaran Bahasa Melayu di semua sekolah.
Penulisan karangan ini menjadi perhatian ramai guru di sekolah kerana masih
ada lagi murid-murid yang kurang berkemampuan untuk menjana idea bagi
mendapatkan penulisan yang baik. Ramai murid hanya mengolah isi karangan yang
agak sama atau hanya mengulang tajuk yang terdapat dalam soalan yang diberikan.
Pendapat ini bertepatan dengan hasil kajian yang dijalankan oleh Nadzrah, Norsimah
dan Nor Hashimah (2011), mereka mendapati bahawa masalah utama murid dalam
penulisan karangan ialah pelajar tidak dapat menghasilkan idea yang matang selaras
dengan usia. Hal ini amat membimbangkan guru-guru kerana markah murid akan
terjejas secara keseluruhannya kerana markah karangan yang diperolehi sekaligus