PENGENALAN
Menulis ditakrifkan sebagai proses penghasilan simbol-simbol grafik yang
disusun berdasarkan pertuturan yang membentuk perkataan dan seterusnya disusun
menjadi ayat. (Mansor Embong, 2018) Menulis merujuk kepada keupayaan murid
menulis perkataan dan ayat serta mengeluarkan idea melalui pelbagai penulisan
kreatif yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan. Bidang penulisan merupakan salah
satu kemahiran yang paling tinggi dan agak sukar dikuasai oleh murid. Penulisan
karangan mempunyai markah yang paling banyak di dalam kertas penulisan 2 dan
boleh menjejaskan markah sekiranya tidak dapat menulis dengan baik.
Nik Safiah Karim (2004) dan Abdul Shukor Shaari (2001) mengatakan
bahawa proses menulis karangan merupakan kemahiran yang paling sukar untuk
dikuasai berbanding dengan kemahiran-kemahiran bahasa yang lain dan ramai
murid tidak mahir dalam menulis. Assrudi Musa (2010) menyatakan bahawa untuk
menghasilkan karangan bahagian C dengan baik, kemahiran mengulas maklumat
daripada bahan ransangan perlu ada. Dalam penulisan karangan pula terdapat
pelbagai jenis penulisan dan genre yang boleh dihasilkan. Untuk kajian ini, pengkaji
mengfokuskan kepada penulisan berfakta. Kegagalan menguasai kemahiran asas
seperti menulis pada peringkat awal boleh menjejaskan pembelajaran murid hingga
ke sekolah menengah. Menulis adalah satu proses yang kompleks dalam meluahkan
perkataan melalui genggaman pensel.
Kajian tindakan ini dijalankan bertujuan untuk membantu murid
mengembangkan ayat dalam karangan mereka dengan memperluaskan ayat
sekaligus untuk mengelakkan murid daripada ketiadaan idea. Kajian ini hanya
menggunakan jadual di mana ia lebih memudahkan murid untuk membinanya dalam
masa yang singkat. Sedikit sebanyak murid mempunyai idea untuk menulis karangan
dengan baik. Jadual yang diberikan juga menggalakkan kemahiran berfikir murid.
Murid hanya perlu mengisi maklumat yang diperlukan berdasarkan tajuk yang
diperoleh. Mereka dapat menambahkan idea dengan kunci-kunci yang diberikan.