KOLEKSI ARTIKEL PENYELIDIKAN BM 2022

(faizkhaldun) #1

Berpandukan perancangan kajian yang telah ditetapkan, konsep asas
penulisan kata nama terbitan berimbuhan peN- diterangkan kepada responden
dengan mengambil kira jenis-jenis imbuhan dalam kelompok imbuhan peN- dan
konsep pengguguran, pengekalan dan perubahan abjad selepas menerima imbuhan.
Setelah memberikan gambaran awal ini, pengkaji memperkenalkan Jadual
Pemenggalan G.U.K dengan memberikan penekanan kepada penulisan kata nama
terbitan berimbuhan peN- yang memfokuskan penanda orang atau benda.
Pengkaji memperuntukkan tempoh selama tiga minggu untuk memberikan
kefahaman kepada responden tentang penggunaan Jadual Pemenggalan G.U.K ini.
Bagi menguji keberkesanannya, pengkaji telah menjalankan satu ujian pos khusus
untuk melihat perkembangan responden. Ujian tersebut mempunyai 20 soalan
bertulis yang beraneka kata akar.
Peringkat seterusnya dalam model kajian ini ialah melihat kesan tindakan
yang telah dilaksanakan. Pada peringkat ini, pengkaji telah mengumpulkan data
yang membolehkan pengkaji menilai keberkesanan tindakan yang dilaksanakan.
Data-data ujian dianalisis dan perbandingan telah dibuat berdasarkan keputusan
ujian pra dan ujian pos responden menerusi analisis dokumen. Dapatan kajian
diplotkan ke dalam bentuk graf perbandingan dan jadual untuk melihat
perkembangan responden. Bagi data soal selidik yang diagihkan selepas ujian pos
dilaksanakan, data dikumpulakan dan dianalisis sebelum membuat ketetapan.
Demikian juga dengan kaedah pemerhatian.
Hasil daripada dapatan yang diperoleh, pengkaji menemui kegagalan kerana
responden masih tidak dapat menguasai penulisan kata nama terbitan berimbuhan
peN- dengan betul. Masih terdapat beberapa responden yang berada dalam
kelompok lemah dan sangat lemah selepas intervensi Jadual Pemenggalan G.U.K ini
diterapkan. Skor dan gred yang diperoleh tidak berubah seperti yang ditunjukkan
semasa ujian pra dilaksanakan. Beberapa kesilapan mudah, kekeliruan menggugur,
mengubah dan mengekalkan abjad dan pemilihan imbuhan yang tidak tepat antara
faktor yang menyumbang kepada kegagalan ini.
Peringkat seterusnya ialah merefleks. Pada peringkat ini, pengkaji membuat
refleksi perkara yang telah dicapai sepanjang penyelidikan tindakan dijalankan.
Setelah keputusan diperoleh dan dianalisis, pengkaji menilai prestasi responden
berdasarkan sebelum dan selepas penggunaan Jadual Pemenggalan G.U.K
Berdasarkan dapatan yang diperoleh, pengkaji mendapati skor dan markah yang
ditunjukkan oleh responden masih tidak memuaskan dan tidak mencapai peratusan
yang dikehendaki. Oleh hal yang demikian, pengkaji mengambil keputusan untuk
meneruskan kajian ini ke gelung seterusnya yang telah dirangka.

Free download pdf